jump to navigation

Isu sebatan wanita – Islam atau gimik politik? February 22, 2010

Posted by nikmj in General.
Tags:
trackback

Pendedahan oleh Menteri Dalam Negeri berkenaan dengan pengenaan hukuman sebat ke atas 3 orang wanita atas kesalahan persetubuhan luar nikah selaras dengan seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [“Akta”] telah menimbulkan pelbagai kontroversi di kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah salah satu daripada pelbagai isu-isu kontroversi yang timbul sejak kebelakangan ini dan kesemuanya mempunyai satu tema yang berulangan, ianya akan dipolitikan dengan semaksimanya.

Isu terbaru bekenaan tiga wanita ini tidak berbeza. Pelbagai persoalan timbul antara lain,

a. Mengapa Menteri Dalam Negeri hanya mendedahkan hukuman tersebut selepas ianya dilaksanakan sedangkan ianya adalah pengetahuan umum bahawa terdapat keresahan berkenaan isu ini pada awal lagi apabila Kartika dijatuhkan hukuman sebat.

b. Mengapa Mahkamah Syariah beriya-iya ingin menggunakan Akta ini terhadap wanita-wanita ini sedangkan Akta yang sama mempunyai kesalahan liwat yang tidak digunakan ke atas Anwar Ibrahim?

c. Adakah Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman sedemikian apabila ianya dengan jelas dibawah Kanun Keseksaan bahawa wanita tidak boleh dihukum dengan sebatan (tidak kira bagaimana ianya dilaksanakan)?

d. Adakah pengenaan hukuman sebat ini sengaja dikenakan untuk menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah ini ‘berkuasa’ dan oleh itu ‘setanding’ dengan Mahkamah Sivil walaupun pendapat sepakat adalah bahawa Mahkamah Syariah ini merupakan suatu cawangan perundangan subsidiari didalam Perlembagaan Malaysia?

e. Adakah pengenaan hukuman sebat ini sengaja dibuat untuk ‘lebih Islam’ daripada PAS dan untuk mengumpan parti pembangkang untuk mengkritik hukuman tersebut agar senang dilabel ‘anti Islam’, sepertimana yang telah dilakukan dengan isu “Allah” dan perarakan Maulidul Rasul?

Bagi saya, berdasarkan tindak-tanduk pihak berkuasa agama di bawah kerajaan pusat sejak kebelakangan ini, adalah sukar untuk dirumuskan bahawa pengenaan hukuman tersebut keatas 3 wanita tersebut adalah atas berlandaskan Islam yang tulus dan ikhlas dan bukan pencaturan politik yang menggunakan institusi Islam. Sekiranya ianya adalah berlandaskan Islam yang tulus dan ikhlas, saya yakin bahawa Persatuan Peguam Syarie dan Majlis Mufti tidak akan berdiam diri apabila Anwar Ibrahim didakwa di Mahkamah Jenayah Sivil apabila terdapat peruntukkan yang sama di bahawa Akta jenayah Syariah.

Untuk menambahkan sokongan kepada teori bahawa menyebatan ini adalah pencaturan politik menggunakan Islam, mari kita lihat kesalahan yang dilakukan oleh 3 wanita tersebut. Daripada liputan media kita boleh rumuskan yang berikut:

a. 3 orang wanita telah di hukum sebat dan penjara apabila di dapati bersalah di bawah seksyen 23(2) Akta,

b. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menyatakan bahawa, “Mereka melahirkan rasa keinsafan sebab mereka merasakan hal ini melepaskan diri mereka daripada dosa dan rasa bersalah kepada Allah S.W.T.,”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2010&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_24.htm

c. salah seorang wanita tersebut berumur 17 tahun dan telah mengandung semasa masih lagi bersekolah;

d. seorang lagi terpaksa menyara bapanya dan mempunyai 3 orang anak luar nikah;

e. mereka telah menyerah diri kepada pihak berkuasa atas rasa bersalah dan bukannya ditangkap.

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/53647-malaysian-women-say- caning-good-for-them

f. Hukuman dijalankan di Penjara Kajang pada pukul 10 pagi 9 Feb lalu. Dua daripada mereka dikenakan enam sebatan manakala yang seorang lagi menerima empat sebatan. Salah seorang telah dibebaskan Sabtu lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan. Seorang lagi akan dibebaskan dalam beberapa hari lagi manakala yang ketiga Jun ini.

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/53454-seks-haram-3-wanita-islam-pertama-jalani-sebatan

g. Menteri Dalam Negeri dipetik menyatakan bahawa berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan tersebut tidak mendatangkan kesan luka. “Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik,” katanya.

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/53454-seks-haram-3-wanita-islam-pertama-jalani-sebatan

Hukuman Setimpal?

Persoalan yang ingin saya timbulkan adalah samada hukuman sebat merupakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Berdasarkan kepada Akta tersebut sendiri, ianya amat sukar untuk dilihat bagaimana Hakim boleh mengenakan hukuman sedemikian bagi pesalah-pesalah yang merupakan pesalah kali pertama. Mereka telah dihukum penjara dan sebatan.

Seksyen 23 Akta yang digunakan keatas 3 wanita tersebut memperuntukan,

“(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah”.

Berdasarkan subseksyen (2) di atas, jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Perkataan operatif di situ adalah “ATAU” dalam mana, Hakim boleh menggunakan budibicaranya berdasarkan fakta kes untuk memilih hukuman yang harus dikenakan. Di dalam kes 3 wanita ini, Hakim telah mengenakan hukuman sebat DAN penjara.

Hukuman sebat merupakan hukuman paling berat di bawah perundangan syariah Wilayah Persekutuan. Ini dapat dilihat di seksyen 133 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 [“Akta Tatacara”] yang menyatakan,

“Kuasa untuk meringankan hukuman.

Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu –

(a) sebat;

(b) pemenjaraan;

(c) denda”.

Berdasarkan seksyen ini, dari segi ‘ranking’ bagi hukuman yang dikenakan, hukuman yang paling berat yang boleh diberikan adalah hukuman sebat, diikuti pemenjaraan dan paling ringan, denda. Disini, ketiga-tiga wanita tersebut telah dikenakan dengan hukuman yang paling berat, iaitu dengan sebatan. Mungkin ianya dapat dijustifikasikan memandangkan bahawa salah seorang daripada wanita tersebut mempunyai 3 orang anak dan menyara bapanya, oleh demikian seharusnya dikenakan sebat kepada tidak adil sekiranya beliau dipenjarakan. Tetapi 3 wanita ini turut dihukum dengan pemenjaraan juga! Mereka menyerah diri, mengaku salah dan insaf, tetapi dikenakan hukuman maksimum? Inikah ‘compassion’ di dalam Islam?

Tambahan lagi, setiap organisasi dan penulis yang menyokong hukuman sebatan ini menggunakan hujah bahawa sebatan di dalam Islam ini adalah untuk mendidik dan bukan menyiksa. Sekiranya benar, mengapa di dalam Akta Tatacara, hukuman sebat dianggap sebagai hukuman yang paling berat? Sekiranya untuk mendidik, bukankah lebih wajar mereka ini dikenakan ‘community service’ seumpamanya atau dikenakan bon untuk berkelakuan baik (yang juga diperuntukkan dibawah seksyen 129 Akta Tatacara) memandangkan mereka merupakan pesalah kali pertama?

Satu lagi isu mengenai sebatan tersebut, menurut wanita yang disebat, ianya pantas dan tidak sakit. Sekiranya pantas dan tidak sakit dan hanya untuk ‘mendidik’, mengapa sebat apabila diambil kira kontroversi yang menyelubungi hukuman tersebut dari segi perundangan dan juga sosial? Semua isu ini menunjukkan seolah-olah pengenaan hukuman ini adalah satu pencaturan politik dan bukannya isu Islam. Ianya isu kuasa bagi kerajaan memerintah untuk menunjukkan keislaman fizikal dan juga bagi organisasi perundangan Syariah untuk meningkatkan ‘status’ secara tersirat melebihi apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mitigasi?

Di dalam Akta Tatacara, terdapat beberapa seksyen yang membenarkan Mahkamah untuk menggunakan budibicaranya untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan apabila mengambilkira faktor-faktor peribadi pesalah. Ianya membolehkan Mahkamah untuk memitigasikan hukuman keatas pesalah.

Daripada laporan akhbar, 3 wanita ini bukanlah pesalah-pesalah yang berulang. Mereka menyerahdiri dan bukannya ditangkap dan mereka telahpun insaf (menurut Menteri). Seksyen 129 Akta Tatacara menyatakan,

“(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik”.

Bagi wanita yang berumur 17 tahun pula, seksyen 128 Akta Tatacara berkenaan dengan pesalah muda menyatakan,

“(1) Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan –

(a) memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(b) memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah, bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan….”.

Adalah jelas di dalam Akta Tatacara sendiri mempunyai seksyen-seksyen yang memberikan kuasa untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan. Persoalannya, mengapa dikenakan hukuman yang sebegitu berat? Jadi isu bahawa sebatan rotan merupakan suatu ‘pendidikan’ adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima akal memandangangkan hukuman sebatan merupakan hukuman yang dianggap lebih berat daripada pemenjaraan. Dan disini, ketiga-tiga wanita tersebut telah dihukum dengan sebatan DAN pemenjaraan!

Cara dan gaya hukuman ini dijalankan dan didedahkan kepada rakyat Malaysia adalah amat mencurigakan. Pelbagai persoalan yang timbul yang tidak ada pihak dapat memberikan jawapannya.Adakah ketiga-tiga wanita ini merupakan hanya ‘collateral damage’ untuk membolehkan organisasi tertentu untuk menunjukkan kuasanya atau untuk pihak kerajaan membuktikan keislamannya? Mengapa pula tidak kedengaran hukuman berat dikenakan kepada suami-suami yang tidak membayar nafkah dan meninggalkan isteri? Ketidakseimbangan didalam perlaksanaan hukuman memberikan persepsi buruk kepada institusi syariah di Malaysia ini. Malangnya, mereka tidak suka dikritik. Segala kritikan dibalas dengan pengenaan label ‘anti-islam’, ‘Islam liberal’ dan sebagainya. Setidak-tidak pun, kritikan akan dibalas dengan dakwaan bahawa pengkritik tidak faham lunas-lunas Islam atau yang paling teruk, mencabar hukum Allah dan syariah (walaupun enakmen syariah merupakan interpretasi oleh penggubal undang-undang).

Sekiranya tidak yang mengkritik tidak faham, mengapa tidak dijawab dengan hujah? Kepada kritikan oleh organisasi wanita berkenaan dengan syariah menindas kaum wanita, mengapa tidak JAKIM, Persatuan Peguam Syarie memberikan jawapan berdasarkan hujah? Sebagai contoh, lihat seksyen-seksyen berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam (yang menjadi asas intipati utama penubuhan Mahkamah Syariah) yang berikut:

“Seksyen 126. Meninggal langsung isteri

Mana-mana orang telah diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

“Seksyen 127. Menganiaya isteri

Mana-mana orang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

“Seksyen 128. Tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri

Mana-mana orang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut Hukum Syarak melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

Peruntukan di atas melibatkan penganiayan suami keatas isteri. Ini adalah ketidak adilan kepada pihak ketiga yang juga akan melibatkan anak-anak yang jelas akan menyebabkan isu sosial yang negatif. Tetapi yang hairanya, ia mempunyai penalti yang lebih rendah jika dibandingkan dengan kesalahan persendirian seperti persetubuhan luar nikah dan liwat. Adilkah keadaan ini? Sudah tentu ianya boleh dikritik oleh organisasi wanita apabila ianya kelihatan berat sebelah terhadap kaum lelaki? Mungkinkah, daripada membuat hukuman ‘sensasi’ sebegini, adalah lebih baik organisasi-organisasi perundangan Islam meneliti kembali peruntukkan-peruntukkan ini untuk lebih saksama dan adil?

Apa yang jelas, semakin dalam isu ini dianalisa, semakin jelas bahawa isu ini merupakan satu lagi taktik pencaturan politik yang tiada kena mengena dengan pendidikan umat atau untuk menangani masalah sosial. Ketiga-tiga wanita ini hanya biji catur di dalam permainan catur politik dan kuasa di negara ini. Yang sedihnya, Islam sekali lagi diperkudakan untuk tujuan kuasa dan undi. – http://art-harun.blogspot.com/

* Shaikh Saleem is a law practitioner. He is sometimes perturbed that in Melaka, apparently, non-Muslims are prohibited from uttering his first name. He is now thinking of seeking damages from his parents for giving him a name which cannot be used, uttered, called upon or written by non-Muslims.

* This article is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified. (TMI)

Comments»

1. nikmj - February 22, 2010

Membantah pelaksanaan hukuman sebatan syarie terhadap beberapa wanita Islam yang mengaku bersalah mengadakan persetubuhan haram dianggap adalah tidak wajar.

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi seperti zina dan meminum arak adalah sebatan yang tidak mencederakan.

Sebaliknya, menurut beliau sebatan itu dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau tetapi sekadar memberi pengajaran.

Bahkan, katanya dalam hadis, ada pesalah yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.

Menurut Dr Asri, sebatan syarie amat berbeza dengan tindakan merotan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil.

Justeru, katanya hukuman itu mempunyai unsur-unsur islamik, dan ia lebih baik daripada memenjarakan pesalah berbulan atau bertahun lamanya yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka.

Menulis dalam blognya, Dr Asri juga berkata proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum juga perlu diambil kira.

“Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum.

“Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses itu bercanggah dengan nas-nas Islam,” katanya lagi.

Dr Asri berkata hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil.
Tauke perlu diheret sama

“Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi tauke-tauke atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak di kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.

Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan,” katanya.

Dr Asri juga meminta pihak berkuasa agama supaya berrlaku jujur dengan rakyat, dan berani mengheret pemilik ataupun pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun kelompok itu dianggap ‘kebal’ di negara ini.

Bekas mufti Perlis itu juga berkata kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Katanya, jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama.

Operasi khalwat kejam

“Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi ‘tangkap khalwat’ begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamerkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya”.

Dr Asri juga menuntut pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi seperti itu juga dikenakan tindakan kerana mencemarkan maruah agama Islam dan maruah orang lain.

Beliau juga menasihatkan beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman sebatan itu supaya berhati-hati.

“Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah.”

Bagi golongan bukan muslim, Dr Asri menasihatkan mereka pula supaya jangan mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara di Malaysia.

Awal bulan ini, tiga pesalah wanita dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.

Malaysiakini – http://www.malaysiakini.com/news/124819

2. Jam Azan - June 1, 2010

Saya agak setuju atas perlaksanaan hukuman ini.
Mungkin lain orang lain pendapatnya🙂

Jam Azan


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: