jump to navigation

Vokalis Rabbani, Ustaz Asri meninggal dunia August 13, 2009

Posted by nikmj in Entertainment, General, islam, mstar, National, news.
Tags: , ,
trackback

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kurang sejam yang lalu akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.

Asri, dua dari kiri dibarisan depan

Menurut rakannya, Azadan, jenazah arwah Asri akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ini.

Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Dia menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar – 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti ‘ARAH Dari Mana… Ke Mana…

‘ (1997), ‘Pergi Tak Kembali’ (1999), ‘Intifada’ (2000), ‘Yalla Beena’ (2004) dan yang terbaru, ‘Nostalgia Nada Murni’.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.

Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.

Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.

Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.

Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan. (mstar)

Comments»

1. SITI - August 13, 2009

KEHILANGAN YANG AMAT BERMAKNA PADA PENCIPTA NASYID…

2. KYRA - August 13, 2009

Asslammualaikum…
Kehilangan yang amat dirasai oleh semua peminat kerana meyampaikan dakwah melalui nasyid dalam bentuk nasihat semoga roh ustaz asri di tempatkan dengan orang-orang yang soleh.

3. mat sulaiman - August 13, 2009

Alfatihah buat arwah Ustaz asri, moga rohnya bersama orang-orang beriman.

4. Hairanaz - August 13, 2009

Sangat terkejut dengan berita ini. Bagi saya tidak ada lagi pengganti Ustaz Asri sebab saya tidak pernah lagi dengar vokal penyanyi lelaki selunak Ustaz Asri. Nyanyiannya sangat meruntun jiwa dan sangat memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya. Al-Fatihah kepada arwah….

5. Rosalinda - August 13, 2009

Innalillahiwainnalhirojiun….
Salam Takziah pada family Arwah uSTAZ asri…
Perjuanganmu akan diteruskan…..
Al-Fatihah.

6. anOm - August 14, 2009

Semoga roh ustaz dicucuri rahmat..amin…

7. ramlahmohdshah - August 14, 2009

hampir tiap malam aku membuka cd bacaan quraan almahrum ustaz sambil sama2 membacanya apabila suami memberitahu tentang pemergian almahrum seakan sesak nafas ku ALLAH HU AKBAR sesungguhnya ALLAH menyayanginya!YA ALLAH AMPUNKANLAH SEMUA DOSA2nya dan LAPANGKANLAH dan TERANGILAH KUBURnya dan TEMPATKAN ALMAHRUM DISYURGA YANG TERBAIK AMIN YA ALLAH!!

8. FIFFY - August 14, 2009

TERAMAT SEDIH BILA KITA MENDENGAR PEJUANG NASYID KITA TELAH MENINGGAL DUNIA. KEHILANGANNYA TERLALU SUKAR UNTUK DI TERIMA. ALFATIHAH BUAT ARWAH USTAZ ASRI. SEMOGA TERGOLONG DIKALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN… AMIN..

9. nikmj - August 14, 2009

‘Pergi Tak Kembali’ buat Edry KRU tersentuh
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Edry (kiri) bersama adik-beradik KRU yang lain iaitu Norman dan Yusry.
LAGU ‘Pergi Tak Kembali’ nyanyian Allahyarham Ustaz Asri dan kumpulan nasyid Rabbani akan pasti membuat sesiapa saja tersentuh. Apatah lagi bila mengenangkan pemergian vokalisnya, Ustaz Asri sudah mendahului kita menghadap Ilahi semalam.

Seperti kata penyanyi dan komposer Edry Abdul Halim, hatinya terus tersentuh apabila mendalami bait lirik lagu yang dicipta olehnya itu.

“Secara peribadi, apabila saya mendengar lagu ‘Pergi Tak Kembali’, saya rasa tersentuh dan merasakan maksudnya sudah lain,” kata Edry.

Tiada lagi senyuman manis Ustaz Asri…Kenangan warga KRU bergambar bersama Ustaz Asri dan anggota Rabbani.
Bagi adik-beradik KRU ini, Edry bagaikan tersentak apabila mendapat berita tentang kematian Asri pada pagi tadi.

Lantas kenangan ketika bersama arwah yang dianggapnya sebagai seorang kawan yang baik terus bermain-main di ingatannya.

“Saya memang terkejut apabila mendengar berita kematiannya setelah sekian lama kami tidak berjumpa.

“Saya sudah kehilangan seorang kawan..itu yang membuatkan hati saya tersentuh.

“Sebelum ini, biasanya kami hanya berjumpa di studio dan majlis keraian.

“Sebelum ini dia banyak meninggalkan kenangan dengan kami kerana dalam mana-mana majlis anjuran KRU dia akan membacakan doa.

“Waktu itu kita tidak anggapnya sebagai artis tetapi lebih kepada rakan baik dan orang yang rapat dengan kami.

“Saya rasa apa yang dilakukan olehnya sebelum ini harus dikenang sampai bila-bila,” ujar Edry yang tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian arwah pada malam ini kerana mempunyai tugasan yang tidak dapat dielakkan.

Edry yang turut sibuk untuk majlis pelancaran filem ‘Jin Notti’ terbitan KRU yang akan diadakan hari ini berkata mungkin dia akan menghadiri majlis tahlil yang akan diadakan oleh keluarga arwah nanti.

Tambah Edry, dia menyifatkan Asri sebagai golongan terpuji dan berjanji akan mengenang setiap kerjasama dan jasa arwah.

Menurut Edry, dia telah mencipta kira-kira lima buah lagu yang dimuatkan dalam tiga hingga empat buah album Rabbani.

“Saya tidak rasa terkilan sebab dapat sempurnakan tugas yang harus diselesaikan. Harap-harap dia diberi penghargaan,” katanya yang turut mencipta lagu ‘Intifada’, ‘Apa Yang Kau Tahu’, ‘Satu Kiblat Yang Sama’ dan ‘Saksi’.

Kali terakhir Edry mencipta lagu untuk Rabbani adalah pada tiga tahun lepas dan selepas ini dia berkata KRU akan merancang sesuatu dengan Rabbani.

“Pertalian kami agak rapat kerana kejayaan Rabbani dan KRU seperti satu kejayaan. Mungkin kita akan berbincang dengan ahli Rabbani yang lain untuk melahirkan sesuatu. Saya tiada masalah,” tuturnya.

Kata Edry, setiap kemenangan dan kejayaan yang diraih oleh Rabbani pasti KRU adalah orang pertama yang menerima berita itu.

“Kami bukan sahaja profesional tetapi rapat sebagai teman kerana apa-apa kejayaan yang dikecapi oleh Rabbani mesti Asri akan menghantar SMS kepada KRU.

“Kami mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat. Apa majlis yang kami lakukan pasti dia akan sokong. Bukan sahaja Ustaz Asri tetapi semua ahli Rabbani,” cerita adik kepada Norman dan Yusry ini.

10. shima - August 14, 2009

Innalillahiwainnalhirojiun….
Salam Takziah pada family Arwah uSTAZ asri…
Perjuanganmu akan diteruskan…..
Al-Fatihah…

11. premierauto - August 14, 2009

innalillah…alfatihah untuk allahyarham…

12. nikmj - August 14, 2009

USTAZ ASRI RABBANI (3 Ogos 1969- 13 Ogos 2009)

BERITA kematian di bulan Syaaban sekali lagi menyentap di hati. Pemergian mengejut Ustaz Asri Ibrahim, teraju utama kumpulan Rabbani jam 10.30 pagi 22 Syaaban adalah perkhabaran yang cukup sedih kerana Allahyarham adalah seorang insan yang sangat istimewa, luhur budi perkerti, penuh hemah bila menyusun kata dan amat disayangi di kalangan rakan artis.

Terngiang-ngiang bait lagu ‘Pergi Tak Kembali’, ‘Intifada’, ‘Qiblat’, ‘Suara Takbir’ dan alunan zikrullah yang dititipkan oleh Allahyarham.

Kumpulan nasyid Rabbani.Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman begitu unik kerana ada konsep tersendiri
Sebaik membuka blog peribadi Dr Asri, (asrirabbani.blogspot.com) setiap patah perkataan bagai menggambarkan peribadi arwah selama 40 tahun di bumi ini. Jelas sekali kehadirannya sebagai penyanyi, sahabat, suami, ayah, adik, abang dan anak cukup disenangi. Hilangnya akan selalu dirindui….

“Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku.”

Begitulah pembuka kata blog Allahyarham Ustaz Asri.

Ramadhan yang akan menjelma selang beberapa hari lagi akan membuat kita lebih mengingati Ustaz Asri kerana kegemersikan, kesyahduan ayat-ayat Quran alunannya sudah begitu sebati dengan kita.

Justeru bila saja perkhabaran tentang pemergian Ustaz Asri diterima, ramai wartawan yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata rasa kehilangan.

Memetik kata arwah Ustaz Asri tika ditanya bagaimana dia menjaga ukhuwah antara anggota kumpulan Rabbani. Kata arwah, “semuanya dianggap bagai teman sejati dan saling membantu dan mengingatkan masa susah dan senang.”

TINGGAL KENANGAN…Saat-saat bahagia bersama anak-anak
Dan itulah yang diterapkan di dalam menjalin semangat persahabatan antara sembilan anggota Rabbani.

Kini hanya wajah-wajah sugul keluarga tersayang, teman dan taulan mengiringi pemergian arwah dengan doa agar ditempatkan bersama roh-roh yang baik.

Pernah beberapa kali ketika buntu mengalami kesulitan hidup, arwah sering berpesan, “walau selama manapun kita hidup, penghujungnya pasti mati. Jadi jangan lupa bawa bekalan untuk pulang. ”

Begitulah sikap arwah yang paling diingati. Apa saja yang dilakukan, dia akan tetap selitkan nasihat berguna. Walaupun sedang berjenaka, arwah akan tetap berpesan agar buat kebaikan.

Anak bongsu Allahyarham Ustaz Asri…Hamdi Rabbani yang berusia 4 tahun
Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau mempunyai 13 orang adik beradik. Beliau meninggalkan seorang balu, Haliza, 38 dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

KUMPULAN RABBANI

Permata hati arwah Ustaz Asri…Hamdi Rabbani
Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Rabbani bermaksud “Yang Arif dan Yang Soleh” atau tafsiran umum “ingin mengajak diri, keluarga dan komuniti kepada kebaikan”.

Ianya dianggotai oleh 9 orang yang membawa kelainan dari sudut penampilan, imej dan persembahan.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Anak arwah, Sufiyah Munawarah berusia 6 tahun paling manja dengan Ustaz Asri
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman mempunyai tarikan mereka sendiri kerana konsep yang berbeza.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik melalaui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Mediteranean, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era semasa juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu, ianya ditampilkan dengan alunan muzik ala Melayu Timur dan digabungkan dengan adunan muzik Timur Tengah.

Antara banyak kumpulan nasyid, konsep muzik Rabbani lebih global dan menampilkan world muzik.

Kegigihan dan kesungguhan kumpulan ini untuk senantiasa memberikan sesuatu yang baru dan terbaik, dibawah bimbingan Ustaz Asri maka terhasillah ‘Rabbani Productions (M) Sdn Bhd’ yang akhirnya turut mencipta nama dalam bidang perniagaan.

PENGHASILAN ALBUM

Rabbani telah melahirkan 16 album kesemuanya seperti berikut:

Arwah bersama ibu tersayang
1) Rabbani. 19962) ARAH Dari Mana… Ke Mana… 19973) Muhammad Ya Habibi. (Kompilasi) 19984) Ramadhan Remix (Rabbani / H.Madani) 19995) Pergi Tak Kembali. 19996) Iqrar 1421. 20007) Intifada 20008) Aman 20019) Qiblat 200210) Kenangan (Kompilasi) 200311) Epik 200312) Yalla Beena 200413) Suara Takbir 200514) Malam Sinar Maulidurrasul 1427 (VCD) 200615) Ramadhan Syawal 200616) Maulana 200717) Rabbani 1418-1428H 200718) Rabbani 1418-1428H (VCD&VCD Karaoke) 2008

ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM)

1. Album Nasyid Terbaik 2001 – Iqrar – 14212. Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 – Iqrar-14213. Album Terbaik 2001 – Iqrar-14214. Album Nasyid Terbaik 2002 – Intifada5. Album Nasyid Terbaik 2003 – Qiblat

ANUGERAH BINTANG POPULAR BERITA HARIAN

1. Penyanyi Nasyid Popular 20012. Penyanyi Nasyid Popular 20023. Penyanyi Nasyid Popular 20034. Penyanyi Nasyid Popular 20045. Penyanyi Nasyid Popular 20056. Penyanyi Nasyid Popular 2006

ANUGERAH ERA

1. Lagu Nasyid Pilihan 2001 – Intifada2. Lagu Nasyid Pilihan 2006 – Nawaitu

ANUGERAH CARTA NASYID IKIM.FM

1. Juara ACNI 2004 – Handzalah2. Naib Juara ACNI 2005 – Yalla Beena3. Vokal Terbaik ACNI 2005 – Yalla Beena

ANUGERAH NASYID MINGGU INI

1. Naib Juara 2004 – Yalla Beena2. Persembahan Terbaik 20063. Penyanyi Solo Terbaik 2006

RINTIHAN ZIKRULLAH

Arwah Ustaz Asri seorang yang amat beratkan bacaan zikir Zikir adalah penawar sewaktu kita hadapi kesedihan dan kegelisahan hati.

Justru ‘Rintihan Zikrullah’ merupakan album munajat Ustaz Asri yang menghimpunkan zikir-zikir, petikan ayat suci Al-Quran dan bait-bait rintihan.

Sesiapapun akan rasa insaf mendengar alunan zikrullah ini, kolaborasi antara IME dan Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

Arwah Asri menganggap album ini begitu bermakna kerana ia banyak memaparkan pengalaman hidupnya.

Malah, Ustaz Asri menghasilkan ‘Zikir Lailahailallah’ buat arwah ayahandanya, Ibrahim Busro, 83, yang meninggal dunia 27 Mei 2007.

“Ia jadi kenangan manis buat saya kerana arwah sering mendendangkan zikir itu setiap kali bulan puasa,” jelas arwah.

Dalam coretan terakhir di blognya, arwah merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan Rabbani amat membanggakan. Walaupun arwah adalah tunjak kejayaan kumpulan Rabbani selama ini, beliau lebih senang berkongsi setiap detik kejayaannya bersama anggota yang lain.

Peribadi arwah yang begitu luhur kini tinggal kenangan.

Al-Fatihah buat Allahyarham. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

13. izzat - August 14, 2009

salam takziah saya ucapkan buat keluarga ustaz asri dan anggota kumpulan nasyid RABBANI. kehilangan ustaz asri begitu menyedihkan bagi kami pencinta nasyid. Didoakan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat.AMIN.

14. nikmj - August 14, 2009

PERGI tak kembali… meratapi pemergian arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, yang telah meninggalkan kita untuk selamanya. Suatu kehilangan yang besar buat kita semua dan pastinya yang amat meratapinya adalah isteri arwah, Haliza Shahadan, yang paling rapat dengannya.

Haliza yang ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, menceritakan detik-detiknya bersama suami tercinta pada pagi sebelum arwah meninggal.

“Saya mulanya tak percaya… Yelah, arwah meninggal pada pukul 11.05 pagi, pukul 10 pagi tu saya masih bersama dia. Masa tu dia memang nampak tak sihat, dia pun ada kata dia pening-pening.

“Arwah ada sakit gastrik, kencing manis dan gout, pagi tu dia cuma minum air madu dengan limau… Lepas tu dia ada muntah-muntah.

“Saya suruh dia berehat dulu… Tapi dia komited dengan kerja dan dia nak jugak pergi kerja.

“Bila dia dah keluar, dia sampai kat stesen minyak Mobil, dia telefon saya dia kata: “Ummi, tolong hantar Abi kat pejabat lah, Abi tak larat.”

“Saya kata saya tak kisah, jadi saya pun memandu sampai ke Mobil tu, lepas itu bawa kereta dia dan hantar dia sampai ke pejabatnya di Bukit Sentosa. Lepas tu dia ada singgah di Shell, dia masuk bilik air, lama jugak dia kat dalam tu, jadi saya pun pergi ketuk tanya dia ok ke tidak?, dia kata dia ok.

“Bila dia keluar dari tandas tu, dia suruh Azadan ambil barang-barang dia masukkan dalam van. Masa tu jelah saya sempat tengok wajah dia dan tak ada apa-apa berlaku ketika itu,” kata Haliza.

Namun, kesedihan Haliza tidak berakhir di situ sahaja, dia turut menceritakan kenangan manis antaranya dengan arwah pada malam sebelum arwah meninggal ketika mereka menghabiskan masa bersama berdua.

“Sebelum ni, dia selalu sibuk dan tak ada masa, tapi malam semalam dia ‘call’ saya dia kata” Abi dah on the way balik, kita makan kat luar jom?.” Saya pun kata: “Ok lah, Ummi pun lapar…”

“Masa tu dia kata: “Mintak apa saja”. Jadi kami pun makan di kedai, lepas balik makan malam tu, kami ‘spend time’ tengok tv bersama… Malam tu ‘nice’ sangat,” kata Haliza dalam keadaan senyum namun masih ada kesedihan diraut wajahnya.

Meskipun mempunyai waktu untuk bersama suami yang dicintainya, namun Haliza menyatakan dia masih rasa terkilan kerana tidak dapat memeluk suaminya itu dengan erat seperti biasa yang dilakukannya.

Haliza menceritakan detik akhir bersama suaminya pagi tadi sambil menahan sebak. – foto mStar Online
“Apa yang membuatkan saya terkilan adalah sebab saya tak dapat peluk dia dengan erat pada saat-saat akhir. Selalunya memang kami mesra, selalu saya akan cium tangan dan peluk dia dengan erat.

“Cuma malam tu saya tahu dia penat, jadi saya cuma salam tangan dan cium pipi dia je,” jelas Haliza yang mula menitiskan air mata.

Haliza turut menceritakan pengorbanan arwah yang sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk bulan madu mereka semasa mengerjakan umrah selepas 16 tahun berkahwin.

“Saya tak sangka dia sanggup bayar beribu-ribu ringgit untuk satu bilik sebab nak berbulan madu semasa mengerjakan umrah.

“Bagaimanapun kami gembira sebab dapat berbulan madu dan mengerjakan umrah bersama,” katanya.

Diajukan soalan sama ada Haliza mempunyai perasaan cemburu sepanjang bersama suaminya, dia mengatakan dia sentiasa cemburu namun bersebab kerana ingin menjaga suaminya itu dengan baik dan mahu suaminya menjadi seorang ikon yang dihormati orang ramai.

“Cemburu saya bersebab, supaya dia menjadi ikon yang dihormati, saya tidak mahu suami saya jadi orang yang lupa daratan, sebab tu saya jaga dia sungguh-sungguh, bukan kerana cemburu tak tentu pasal tetapi saya nak orang hormat dia sebagai seorang ustaz yang baik, saya tidak mahu ada orang yang cakap belakang pasal sikap dia.

“Tapi kita hanya manusia biasa, kita tak tahu apa yang Allah aturkan untuk kita. Kita tiada kelebihan untuk mengetahui hari esok, kalau kita tahu hari esok, pasti kita akan lebih bersedia.

“Sebab itu, kita kena menyintai seseorang dengan sepenuh hati kita, tak kira anak ke, suami ke kita kena cinta dengan sepenuh hati.

Haliza masih mampu tersenyum, namun masih ada tanda kesedihan pada raut wajahnya.
“Untuk arwah, saya memang cintakan dia sungguh-sungguh, sebab saya takut dia terpesong dalam dunia artis yang berbagai-bagai karenah ni,” jelas Haliza yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinannya bersama arwah Ustaz Asri.

Bagaimanapun Haliza bersyukur terhadap Allah s.w.t kerana memberinya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangganya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur terhadap Allah kerana memberi saya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangga kerana ustaz sendiri banyak menghabiskan masa di luar dan selama itu saya sudah mula berdikari.

“Tapi lepas ini saya masih tidak tahu kerana saya hanya berserah pada keadaan dan ketentuan Allah,” katanya.

Sempat ditemui ketika itu adik kepada Ustaz Asri, Ustaz Ghazali Ibrahim yang tidak menyangka abangnya akan pergi dengan begitu cepat dan mengatakan Ustaz Asri antara yang begitu rapat dengannya.

“Saya begitu tak sangka, pagi tadi sewaktu sedang memberi ceramah, saya ada menerima panggilan masuk, tapi tidak menjawabnya, bila selesai ceramah, saya baca mesej yang mengatakan abang saya pengsan.

“Tak lama lepas tu, saya terima panggilan mengatakan abang saya dah meninggal dunia. Arwah antara yang paling rapat dengan saya, saya tidak tahu dia ada sebarang penyakit melainkan gout dan kencing manis.

“Kali terakhir saya jumpa dia sebulan yang lalu, tapi empat atau lima hari lepas saya ada bercakap telefon dengannya, pada masa tu saya dengar suara dia macam tak berapa sihat, saya ingat mungkin dia letih dan tidak bertanya banyak pada masa itu,” kata Ustaz Ghazali.

Pastinya pemergian Ustaz Asri merupakan satu kehilangan yang besar buat keluarganya, ahli kumpulan Rabbani, sahabat handainya dan semua yang mengenalinya.

Perginya tidak kembali lagi dan pasti sukar untuk dicari pengganti buat arwah Ustaz Asri yang selama ini memperjuangkan irama nasyid sehingga ke akhir hayatnya.

15. botaq - August 14, 2009

ustaz asri sentiasa dikenang

16. daNie172 - August 14, 2009

sesungguhnye Allah swt lebih sygkan Ustaz Asri!..Al-Fatihah!!
takziah kpd kluarga arwah ustaz Asri.
Perginya seorg pejuang seni nasyid yg agung!

17. amalina90 - August 14, 2009

takziah buat ahli keluarga ustaz asri…..

18. Firdaus - August 15, 2009

Wahai Umatku Sekalian Alam,Jauhikanlah Dari Sebarang Berjangkit Terutamanya H1N1.Ustaz Asri Dilahirkan Pada Tahun 3 Ogos 1969 Sebelum Merdeka.Ustaz Asri Merupakan Tunjang Akhlak Yang Mulia Serta Melakukan Amal Soleh,Kebajikan Kepada Fakir Miskin Dan Lain-lain Lagi Juga Ingatlah Bahawa Allah S.W.T Menentukan Sama Ada Hidup Atau Sebaliknya.Riwayat Hadis Bukhari & Muslim Berkata : Wahai Umat Islam Sesiapa Nak Hidup Hari Akhirat Nescaya Akan Selamat Dan Sesiapa Nak Hidup Di Dalam Dunia Ini Maka Sesatlah Keimanan Dan Ketaqwaan Kepada Allah S.W.T Semata-mata Nak Pentingkan Hidup Di Dunia Apabila Pengadilan Datang ‘Hari Kiamat’ Dan Jika Kamu Nak Selamat Buatlah 5 Fardu Iaitu 1.Mengucap Dua Kalimah Syahadah 2.Menunaikan Solat 5 Waktu 3.Menunaikan Puasa 4.Menunaikan Zakat 5.Menunaikan Haji Bila Berkemampuan.Ini Adalah Amanat Rasulullah S.A.W.Ada 6 Perkara Paling Penting Dalam Iman 1.Beriman Kepada Allah S.W.T 2.Beriman Kepada Malaikat 3.Beriman Kepada Kitab 4.Beriman Kepada Nabi Dan Rasul 5.Beriman Kepada Hari Kiamat 6.Beriman Kepada Qada Dan Qadar

19. rahimah - August 17, 2009

Mengenalinya, ustaz asri seorang merendah diri. Pelajaran dan akhlak anak – anak amat diutamakan. Bukannya mudah menjadi personaliti dikenali malahan ikon yang terbaik. Walaupun bergelar artis, akhirat tetap diutamakan.paling mudah untuk meminta tolong. semoga rohmu tenang di sana…….

20. shan - August 22, 2009

kami dari TBP Butterworth mengucapka takziah keatas Pemergian Ustaz Asri Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat aminnnnn…………………. ALFATIHAH

21. fadhlina - September 2, 2010

Innalillah….. Semoga allah menempatkannya di dalam golongan orang2 syurga.

22. nabilah - January 18, 2013

assalamualaikum walaupun saya terlambat untuk ucap tahziah kepada keluarganya saya tetap akan cakap ustaz asri ditempatkan orang-orang beriman . assalamualaikum


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: