jump to navigation

Akhirnya Kementerian Pelajaran mengaku salah, PPSMI dimansuhkan July 8, 2009

Posted by nikmj in malaysiakini, National, news, Politics.
Tags: , ,
trackback

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu. 

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orangberarak ke Istana Negara. 

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

“Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya. 

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 – Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 – Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah 

Januari 2008 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 – Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 – Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut “menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.”

Mei 2009 – Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini – sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut. 

Jun 2009 – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran “jangan jadikan pelajar bahan ujian” dasar yang “jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara.”

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata “salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya.”

Julai 2009 – Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Comments»

1. nikmj - July 8, 2009

Dr Mahathir pertikai mansuh PPSMI
Jul 8, 09 5:17pm
Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

“Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut,” kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Berikut pandangan Dr Mahathir berhubung dasar PPSMI:

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) – satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation
• Oxidation
• Oxide
• Oxidants
• Deoxydation
• Oxidise
• Oxidification
• Dioxide
• Monoxide
• Peroxide

10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

Diterbitkan kembali daripada blog Che Det (13 Mac 2009)

Chedet janganlah terlalu bergundah gulana lantaran dasar yg diperkenalkannya dulu kini ditolak oleh pemerintah kini. KP @ TPM sudah mempunyai data untuk menolak dasar PPSMI yang terbukti gagal. Akuilah saja yang dasar PPSMI yang berhujah bagi pihak professional atasan memang tidak sesuai dan tidak patut dilaksanakan pada sasaran murid tahun satu.

Mana ada murid tahun satu baca jurnal Chedet oi. Memanglah doktor dan ahli politik yg berucap dipersada antarabangsa fasih berbahasa Inggeris. Jika mereka tidak fasih, sudah tentu mereka tidak layak berada disitu.

Memaksa semua orang belajar BI dari darjah satu atas alasan Chedet memang tidak boleh diterima pakai. Sepatutnya pelaksanaan mewajibkan penggunaan BI harus dimulakan dari peringkat atasan dahulu, iatu dari universiti dan diturunkan sedikit demi sedikit keperingkat bawahan berdasarkan pencapaian semasa. Ini adalah kerana mereka yang diperingkat atasan sudah ada asas BI sedangkan murid darjah satu, asas BI nya sangat lemah. Syabas TPM @ KP

2. nikmj - July 9, 2009

Pemansuhan PPSMI bukan proses mudah – Hishammuddin
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pemansuhan proses Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah bukan satu proses yang mudah.

Beliau yang kini Menteri Dalam Negeri berkata, keputusan itu bagaimanapun mendapat sokongan majoriti yang melihat ia sebagai tindakan paling wajar berdasarkan fakta dan kajian terhadap prestasi akademik murid yang kurang memberangsangkan.

“Pendekatan dan keputusan yang dibuat bersandarkan kepada keadaan dan realiti yang berlaku dan selepas enam tahun kohort pertama melalui PPSMI.

“Justeru semua pihak harus sedar bahawa keputusan yang dibuat bukan mudah, dan mustahil mampu memenuhi kehendak semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI berkuatkuasa sepenuhnya pada tahun 2012 di semua sekolah kebangsaan.

Menurut beliau, semua pihak perlu melihat keputusan itu dengan hati terbuka dan dalam konteks yang lebih luas memandangkan ia telah melalui perjalanan proses yang begitu panjang, bermula dari perbincangan meja bulat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Saya juga nak ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran kerana membentangkan hujah pemansuhan dengan lengkap bersandarkan kepada fakta, kajian dan pencapaian pelajar,” katanya.

Segala keputusan Kementerian Pelajaran katanya, telah diambil selepas menggunakan secukup masa untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Saya sendiri setuju dengan dasar-dasar baru yang dibentangkan dan banyak kerja yang perlu dibuat untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pengajar,” katanya

3. nikmj - July 12, 2009

KEPUTUSAN TEPAT – UNGKU AZIZ

(Utusan Malaysia) – Langkah kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini.

Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan itu kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat.

Katanya, langkah itu memperlihatkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sudah dikembalikan ke tempatnya yang wajar.

”Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan yang hampir boleh memuaskan hati semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keputusan memansuhkan PPSMI diambil oleh kerajaan selepas kajian mendalam mendapati keputusan pelajar dalam subjek Sains dan Matematik memperlihatkan penurunan sejak beberapa tahun ini.

Dasar PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 dan mendapat penentangan dari pelbagai pihak.

Tambah Ungku Aziz, pemansuhan dasar PPSMI adalah sesuatu yang sangat baik bagi perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

Beliau berharap, kerajaan selepas ini akan memberikan penumpuan yang lebih meluas terhadap aspek memperkukuhkan pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di negara ini.

”Perpaduan adalah asas kepada segala-galanya, tanpa perpaduan tidak ada apa pun yang boleh dicapai di negara ini,” katanya.

Jelas beliau, pengukuhan bahasa Melayu itu hendaklah merangkumi aspek-aspek seperti memastikan penggunaan bahasa itu dilakukan dengan nahu dan tatabahasa yang tepat.

Beliau juga menyarankan kepada masyarakat agar bahasa Inggeris tidak dilupakan terus tetapi turut diberikan perhatian yang sewajarnya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: