jump to navigation

Kemana Hala Tuju Pakatan Rakyat? July 7, 2009

Posted by nikmj in General, mstar, National, news, Politics.
Tags: ,
trackback

MULANYA dengan muzakarah, kemudiannya mati. Muncul pula isu kerajaan perpaduan, hangat sekejap suhu politik negara. Bukan hanya PAS yang hampir retak, Pakatan Rakyat juga bergolak. Isu ini akhirnya tamat jua setelah Mursyidul Am PAS, Nik Aziz mengeluarkan kenyataan kerasnya, yang sudah pasti akan terus dikenang sejarah. Kedua-dua polemik ini bermula dari dalam PAS dan ia memberi kesan yang bukan sedikit kepada Pakatan Rakyat. Namun ujian keutuhan Pakatan Rakyat yang baru ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum Ke-12, pilihanraya umum paling bersejarah saya kira, tidak terhenti setakat itu sahaja.

Sebaik sahaja reda isu kerajaan perpaduan, tiba-tiba kedamaian Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Pulau Pinang berkocak, bilamana salah seorang ahli majlis MPSP, Johari Kassim telah dipecat. Johari sebelum pemecatan ini pernah terlibat dalam boikot terhadap perlantikan Yang DiPertua MPSP. Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang diterajui oleh DAP, sementara Johari Kassim adalah dari PKR. Belum lagi penyelesaian terhadap isu ini dapat dirangka, politik negara bergegar lagi bila Negeri Kedah yang juga di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat terjerumus ke dalam konflik. Isu utamanya cukup jelas, sebuah tempat penyembelihan khinzir haram dirobohkan dan DAP Kedah naik marah.

DAP Kedah bukan sekadar mengkritik Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah di bawah teraju PAS ini, tetapi bertindak lebih jauh dari itu bila mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat Kedah dan satu-satunya ADUN DAP dalam DUN Kedah pula mengumumkan yang beliau bukan lagi mewakili Pakatan Rakyat, bukan juga BN, maknanya bebas. Titik di situ! Rakyat mula keliru. Apakah Pakatan Rakyat boleh diharap? Apakah sistem dua parti adalah harapan yang akan menjadi kenyataan? Apakah Pakatan Rakyat punya masa hadapan? Itulah persoalan-persoalan yang mula muncul. Kewibawaan Anwar Ibrahim sebagai teraju utama pakatan ini mula menjadi bahan percakapan. Anwar tidak mengambil masa lama untuk merungkai kekeruhan ini, sebelum kredibiliti beliau tercalar lebih teruk. Sebagai tindakan “damage control” Anwar telah mengumumkan yang “ketidakselesaan”dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Pulau Pinang dan Kedah telah berakhir.

Pengumuman ini hadir selepas tamatnya mesyuarat tertutup Anwar dengan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak. Walau banyak persoalan yang mahu ditanya orang, Anwar telahpun menyatakan pendiriannya sebagai orang yang dianggap ketua kepada Pakatan Rakyat. Sudah tentu beliau akan berbuat apa sahaja untuk membuktikan pendiriannya itu betul. Jika orang bertanya saya? Bagaimana dengan masa hadapan Pakatan Rakyat? Saya akan berkata selagimana pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga parti dalam gabungan Pakatan Rakyat ini boleh berfikir, bersuara dan bertindak secara rasional, bukan emosional, Pakatan Rakyat akan bertahan, bahkan mampu untuk terus wujud sehingga lima puluh tahun akan datang sekalipun. Kenapa saya seyakin ini? Sebab Pakatan Rakyat usianya baru setahun jagung. Sekadar masalah sebuah tempat penyembelihan haram khinzir dan seorang ahli majlis perbandaran, ia sangatlah kecil jika mahu dibandingkan dengan masalah yang dihadapi BN atau dahulunya Perikatan ketika di peringkat usia yang hampir sama. Dalam kehangatan merdeka yang masih terasa, Tunku menerima cabaran pertama dari pendokong kuat Umno sendiri waktu itu, iaitu kalangan guru, yang banyak memegang jawatan dalam kepimpinan Umno di peringkat akar-umbi.

Kegagalan Tunku dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kegagalan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (aliran Melayu) telah memaksa Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) membuat tindakan memulau Umno, yang turut disokong oleh beberapa persatuan guru yang lain.

Pemulauan ini bahkan telah membawa kepada satu demonstrasi besar-besaran di Kota Bharu. Natijah dari kemelut ini, Perikatan pada Pilihanraya Umum 1959 hilang dua negeri iaitu Terengganu dan Kelantan ke tangan PAS, Parti Negara pula berjaya bertapak di Parlimen dan di Negeri Terengganu juga. Perikatan hanya mendapat 51.5 peratus undi dalam pilihanraya umum tersebut. Umno juga ketika itu bermasalah dengan MCA, apabila Penyata Razak ditolak MCA kerana Penyata Razak hanya menerima Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib bagi semua aliran persekolahan.

Penolakan ini adalah akibat desakan puak radikal MCA dan penyokong kuatnya iaitu Chinese School Teachers Association (UCSTA) dan All-Malaya Chinese School Management Association (AMCSMA). Puak radikal dalam MCA ketika itu melihat kepimpinan MCA di bawah Tan Cheng Lock adalah lemah dalam berhadapan dengan Tunku sebagai pemimpin Perikatan. Tan Cheng Lock akhirnya dikalahkan oleh Lim Chong Eu dalam pemilihan MCA pada tahun 1958.

Natijah dari krisis ini lebih teruk, Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1959. Bayangkan jika krisis-krisis sebegini berlaku dalam persekitaran hari ini, persekitaran media baru, bila krisis ini dijaja oleh blog, facebook, twitter dan sebagainya. Dalam keadaan media yang masih mundur ketika itupun, Perikatan boleh tersungkur di dua negeri. Bagaimana suasananya jika ini semua adalah insiden di zaman siber ini? Walaupun begitu berat masalah yang dihadapi oleh Perikatan ketika itu, legasinya yang bernama BN terus bertahan sampai sekarang. Kalau Perikatan atau BN boleh bertahan, kenapa tidak Pakatan Rakyat? Yang hari ini berhadapan dengan krisis yang saya anggap hanya bersifat pinggiran. Saya maklum yang Pakatan Rakyat berhadapan dengan krisis pada tahun 2009, bukan 1959. Krisis Pakatan Rakyat ini tentunya juga akan dijaja oleh media baru; blog, facebook, twitter dan sebagainya, jadi sebarannya meluas.

Tetapi sefaham saya juga, berdasarkan rekod Pilihanraya Umum Ke-12, pihak yang berkelebihan dalam media baru ini adalah Pakatan Rakyat kerana ramainya anak-anak muda yang pakar tentang gajet-gajet media baru ini berada didalamnya. Sudah tentu tidak ada masalah bagi Pakatan Rakyat untuk melawan kembali, bahkan dengan lebih hebat, setara dengan kepakaran yang dimiliki. Percayalah, ini seterusnya memungkinkan Pakatan Rakyat untuk terus bertahan. Saya cuma ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat berjaya kepada sistem dua parti.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: