jump to navigation

Kerajaan Perpaduan dan Persaudaraan Islam June 18, 2009

Posted by nikmj in General, islam, National, news, Politics.
Tags: , ,
trackback

stilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

 Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”.(riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:

“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah”(Riwayat Abu Daud).

Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”. (drmaza)

Comments»

1. hanafi - November 14, 2009

Assalamu’alaikum.
Ust, Konsep Kerajaan Perpaduan yang dikemukakan ialah semua parti termasuk pembangkang (PAS, PKR & DAP) bersama membentuk kerajaan selepas pilihanraya. Dalam pilihanraya umum masing-masing akan bertanding mengikut parti masing-masing.
Kepimpinan PAS menolak cadangan tersebut bukan kerana terlalu bencikan UMNO atau mendendami kezaliman UMNO yang lalu. Pandangan saya dalam soal ini ialah:
1. Saya gembira dengan ketegasan Tok Guru dan kepimpinan tertinggi PAS terutamanya dalam hal menolak konsep ‘kerajaan perpaduan’. Konsep ini hanya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan menyebabkan UMNO akan terus sesat dan tidak akan berubah kepada perjuangan Islam. Yang ruginya adalah gerakan Islam kerana konsep tersebut akan membantutkan usaha kearah melaksanakan syariat Islam.
2. Dalan tahun awal 80-an dahulu, bertempat di Dewan Zulkifli dalam satu program anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan Tuan Guru menasihati kami (Pemuda PAS ketika itu) bahawa kita wajib sayang kepada orang-orang UMNO, kerana mereka adalah adik-beradik kita, ibubapa kita, anak-anak kita, mak saudara dan pak saudara kita, kerana dalam keluarga kita ada PAS dan ada UMNO.
3. Tok Guru bertanya, bagaimana cara kita nak tunjukkan sayang kita kepada mereka? Dan Tok Guru sendiri menjelaskannya; UMNO mengamalkan dasar pragmatik, iaitu dasar hanyut mengikut arus. Bila ramai rakyat hendakkan nasionalis maka mereka akan jadi nasionalis. Bila ramai rakyat hendakkan sosialis mereka akan berubah kepada sosialis. Mereka akan berubah mengikut sentimen rakyat untuk menjamin sebahagian besar rakyat mengundi mereka dan mereka akan terus berkuasa di Malaysia.
4. Tok Guru menjelaskan lagi bahawa kita mesti menggunakan peluang pragmatiknya umno ini untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan melaksanakan syariat Islam dengan cara kita melawan UMNO habis-habisan dan serentak dengan itu kita juga mesti menyampaikan seruan dakwah kita kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa syariat Islam adalah syariat yang terbaik dan sempurna kerana ianya ciptaan Allah swt untuk manusia mengamalkanya di dunia ini bagi mencapai kesejahteraan hidup dan keredhaanNYA.
5. Tok Guru kata, usaha dakwah kita hendaklah berterusan sehingga dapat membentuk sentimen dikalangan sebahagian besar rakyat yang inginkan sebuah pemerintahan Islam. Dan ketika itu UMNO akan tertekan. Mereka akan dapat merasakan bahawa mereka akan mengalami kekalahan dalam pilihanraya sekiranya mereka tidak mengubah dasar parti mereka kepada Islam. Insya Allah pada ketika itu mereka akan berubah kepada perjuangan Islam. Walaupun mereka berubah untuk menjamin kesinambungan pemerintahan mereka, namun oleh kerana mereka telah mengubah dasar mereka kepada Islam, maka kita akan bersatu bersama mereka untuk menyokong dan mendokong usaha membentuk sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.
6. Saya yakin apa yang Tok Guru nyatakan itu bukan sekadar tiori semata-mata, tetapi merupakan suatu kaedah yang terbaik dalam sistem demokrasi dan dibenarkan oleh Islam untuk mencapai kemenangan. Insya Allah Islam akan tetap mencapai kemenangan.
7. Tok Guru dan kepimpinan PAS yang lain sebenar nya amat menyayangi orang-orang UMNO. Penentangan berterusan kita kepada mereka adalah demi kasih sayang kita kepada mereka. Sekarang belum masanya kita bersama UMNO selagi mereka tidak meletakkan syariat Islam di tempatnya. Sekian, wassalam.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: