jump to navigation

Zambry perolehi perintah yang tidak laku – Mohamed Hanipa Maidin April 21, 2009

Posted by nikmj in General, harakahdaily, malaysiakini, malaysianinsider, National, news, Politics.
Tags: , , , , , ,
trackback

Pembaca ruangan ini masih bertanya kepada saya adakah dua perintah perisytiharan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan pada 15 April lalu bahawa penggantungan Zambry dan enam exconya oleh Speaker Perak dibatalkan membolehkan mereka menghadiri sidang DUN Perak nanti.

Jawapan saya adalah “tidak!”

Berikut adalah alasan-alasan saya.

a. Apa yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya hanyalah perintah deklarasi (perisytiharan) semata-mata. Tidak lebih dari itu. Di dalam undang-undang perintah deklarasi yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya tidak membawa apa-apa makna kerana perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (coercive force).

Pakar undang-undang Pentadbiran, Prof M.P Jain secara jelas menyatakan:

“A declaration merely declares what the legal rights of the concerned parties are. A declaratory order has no coercive force as such nor does it quash any decision which may have been taken by an administrative authority.”

(Perintah deklarasi hanya sekadar satu perisytiharan hak pihak-pihak yang terbabit dari segi perundangan. Perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (memaksa seseorang mengikut perintah tersebut). Perintah tersebut juga tidak memadam, membatalkan atau mengenepikan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa pentadbiran.)

b. Memandangkan Zambry dan enam exconya hanya memperolehi perintah deklarasi, perintah tersebut tidak meletakkan sebarang tanggung jawab

(impose an obligation) ke atas Sivakumar untuk mematuhinya kerana dari segi rekod di dalam DUN di Perak, perintah penggantungan tersebut masih wujud selagi tidak dipadam oleh Mahkamah (not quashed by the court).

Untuk memudahkan kefahaman umum, saya berikan contoh berikut:

Kita ambil satu kes misalnya seorang menyaman Jabatan Pendaftaran Negara

(JPN) kerana mengekalkan nama di dalam kad pengenalannya sebagai Ali bin Abu sedangkan beliau mendakwa telah menukar agama dan memohon namanya ditukar kepada John Abraham.

Katakan beliau meminta satu perintah deklarasi bahawa tindakan atau keputusan JPN yang tidak menukar namanya kepada John Abraham adalah tidak sah.

Katakan Mahkamah bersetuju dengan beliau dan mengisytiharkan bahawa keputusan atau tindakan JPN adalah tidak sah dan Mahkamah juga mengisytiharkan nama beliau adalah John Abraham. Maka persoalan yang timbul adalah, adakah JPN wajib menukar namanya kepada John Abraham selepas beliau mendapat perintah perisytiharan tersebut?

Dari segi undang-undang, JPN tidak wajib menukar namanya kepada John Abraham kerana Mahkamah hanya mengisytiharkan tindakan JPN adalah tidak sah tanpa memerintahkan nama Ali bin Abu dipadam dan ditukar kepada John Abraham.

JPN hanya wajib menukar nama Ali bin Abu kepada John Abraham jika pemohon mendapat perintah ‘certiorari’

iaitu perintah mengenepikan/memadam

(quash) keputusan JPN tersebut dan selanjutnya perintah mandamus iaitu perintah mengarahkan JPN menukar nama beliau dari Ali bin Abu kepada John Abraham.

Selagi tidak ada perintah ‘certiorari’

dan perintah mandamus tersebut maka nama beliau akan kekal di dalam kad pengenalan sebagai Ali bin Abu meskipun Mahkamah mengisytiharkan namanya John Abraham.

c. Dalam konteks kes Zambry lwn Sivakumar apa yang sepatutnya peguam Umno buat adalah selain mendapatkan perintah perisytiharan (deklarasi) bahawa penggantungannya tidak sah, Zambry juga sepatutnya memohon Mahkamah mendapatkan perintah-perintah berikut iaitu perintah ‘certiorari’

iaitu perintah mengenepikan atau memadam keputusan Sivakumar yang menggantung beliau dan enam exconya, dan juga perintah mandamus iaitu perintah meminta Sivakumar menbenarkan beliau dan enam exconya hadir ke dalam sidang DUN Perak. 

 

 

d. Tanpa perintah ‘certiorari’ dan mandamus tersebut maka perintah perisytiharan yang Zambry dan enam exconya perolehi dari Mahkamah adalah satu perintah yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas Sivakumar. Berhadapan dengan perintah seperti itu Sivakumar dengan tenang akan menjawab begini: “So what!”
Mungkin pembaca ingin bertanya mengapa Zambry dan enam exconya tidak memohon perintah ‘certiorari’dan mandamus sebaliknya hanya memohon perintah perisytiharan sahaja.
Ada dua sebab mengapa mereka tidak berbuat demikian.
Sebab Pertama adalah peguam Zambry sendiri secara jelas mengakui semasa penghujahan di Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry tidak boleh memohon perintah ‘certiorari’dan mandamus kerana kedua-dua perintah tersebut tidak boleh dipohon di dalam kes ini disebabkan doktrin pengasingan kuasa(separation of powers).
Dengan lain perkataan peguam Zambry mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa, Mahkamah tidak boleh memerintah Sivakumar sebagai Speaker untuk sama ada memadamkan keputusannya atau membenarkan Zambry masuk dan hadir di dalam persidangan DUN Perak.
Hatta jika kita lihat kepada 10 perintah yang Zambry pohon kesemuanya adalah perintah berbentuk perisytiharan sahaja. Malahan Mahkamah juga tidak membenarkan perintah perisytiharan supaya beliau dan enam exconya untuk masuk, menghadiri dan mengambil bahagian di dalam sidang DUN Perak.
Sebab kedua adalah Zambry dan enam exconya telah tersalah memilih prosedur Mahkamah. Jika beliau ingin memohon perintah ‘certiorari’dan mandamus, beliau perlu membuat permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya melalui Saman Pemula seperti yang mereka buat.
Memandangkan mereka telah tersalah prosedur maka mereka dengan berat hati terpaksa berpuas hati dengan perintah perisytiharan yang tidak membawa apa-apa makna.
Atas dasar itu juga peguam Sivakumar juga telah berhujah bahawa perintah perisytiharan yang Zambry pohon sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah dan meminta Mahkamah tidak melayan perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry tersebut.
Hujah peguam Sivakumar adalah berasaskan apa yang dinyatakan di dalam kes Fan Yew Teng vs Government of Malaysia di mana Mahkamah telah menerima pakai apa yang dinyatakan oleh Erskine May di dalam buku Parlimentary Procedure (17th Edition) di mana penulis telah menyatakan:
“The decisions of the court are not accepted as binding the house in matters of privilege, nor the decision of the House by the courts.”
(Keputusan Mahakamh tidak diterima sebagai mengikat Parlimen atau DUN di dalam perkara menyentuh keistimewaan, begitu juga keputusan Parlimen atau DUN tidak mengikat Mahkamah.)
Mengapa? Mungkin pembaca bertanya mengapa Mahkamah membenarkan juga perintah yang tidak berfaedah tersebut? Jawapan mudah saya adalah ia hanyalah perintah untuk mengambil hati Umno. Perumpamaan yang mudah, ia adalah ibarat hadiah saguhati kerana menyertai pertandingan.
Jenis Umno ini, kita beri mereka wang satu sen pun mereka melonjak gembira sedangkan satu sen boleh beli apa?
Seperkara lagi yang saya perlu kongsi di sini adalah mengenai sidang DUN di bawah pokok yang diadakan pada 3 Mac 2009. Isu keabsahan (validity) persidangan di bawah pokok tersebut juga merupakan salah satu isu yang dirujuk oleh Zambry ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak.
Isu yang dirujuk adalah sama ada sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 adalah sah apabila ianya dibuat tanpa perkenan Sultan Perak.
Selepas mendengar hujah peguam Zambry dan peguam Sivakumar, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat apa-apa keputusan terhadap isu keabsahan sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 tersebut. Secara tersirat kita boleh menyimpulkan bahawa Mahkamah bersetuju bahawa sidang DUN di bawah pokok adalah sah.
Memandangkan tiada perintah Mahkamah yang membatalkan keputusan sidang bawah pokok, Umno terpaksa menerima hakikat berikut:
a. Persidangan DUN di bawah pokok telah mengesahkan (endorsed) keputusan Sivakumar yang menggantung Zambry dan enam exconya selama 18 bulan dan 12 bulan.
b. Dengan pengesahan tersebut maka keputusan penggantungan tersebut adalah sah dan masih mengikat Zambry dan enam exconya yang lain.
c. Di dalam samannya Zambry mengatakan keputusan Sivakumar adalah tidak sah kerana keputusannya tidak disahkan oleh DUN Perak. Memandangkan sidang DUN Perak pada 3 Mac 2009 telah mengesahkan keputusan Sivakumar yang dibuat pada 18 Februari 2009 dan memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa?apa keputusan yang mengisytiharkan sidang bawah pokok adalah tidak sah, maka keputusan DUN Perak di bawah pokok adalah sah dan mengikat Zambry serta enam exconya.
d. Apa yang Mahkamah putuskan hanya melibatkan keputusan Sivakumar pada 18 Februari dan bukannya keputusan DUN Perak pada 3 Mac 2009.
Kesimpulannya Umno hanya dapat perintah Mahkamah yang tidak membawa apa-apa faedah. –Harakahdaily

Comments»

1. Zambry perolehi perintah yang tidak laku – Mohamed Hanipa Maidin - April 21, 2009

[…] Original post by nikmj […]

2. nikmj - April 23, 2009

Penasihat Umno jawab isu MB Perak
Apr 22, 09 3:51pm
Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri itu oleh Speaker DUN Perak, V Sivakumar batal dan tidak sah, adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan, kata Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia juga bukan akademik semata-mata tetapi menjawab persoalan kepada tindakan pertama dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Katanya, sejak Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 16 April lalu, banyak telah diperkatakan di dalam blog dan lamanweb tentang kesan atau impak keputusan tersebut, termasuk Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS pusat, Hanipa Maidin dalam harakahdaily.net pada 20 April lalu.

“Justeru itu, saya selaku petua pasukan undang-undang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan merasakan perlu berikan penjelasan sebaliknya dan menyerahkan kepada pembaca untuk membuat kesimpulan sewajarnya,” tegas Hafarizam.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang disiarkan dalam Umno Online hari ini:

A. Pengenalan

Sejak daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April 2009, banyak telah diperkatakan di dalam blog dan laman web tentang kesan atau impak terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam Notis Usul 06-04-2009 (A) antara YAB Dato Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir dan enam Exco lawan YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu (dituntut selaku Yang DiPertua, Dewan Negeri Perak) yang terbaru adalah di dalam laman http://www.harakahdaily.net/ oleh Saudara Hanipa Maidin, Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat pada April 20, 2009.

Justeru itu, saya selaku Ketua Pasukan Undang-undang yang bertanggungjawab di dalam kes di atas merasakan perlu saya berikan penjelasan sebaliknya dan menyerahkan kepada pembaca sekalian untuk membuat kesimpulan sewajarnya.

B. Latar Belakang Kes Mahkamah Tinggi Ipoh Saman Pemula No: 24-247-2009

Tindakan Saman Pemula ini telah difailkan pada 2hb Mac 2009 (tindakan pertama). Antara deklarasi yang dipohon adalah seperti yang tertera di dalam LAMPIRAN 1.

C. Kes Mahkamah Persekutuan Notis Usul No. 06-04-2009(A) di Putrajaya

Terdapat 11 permohonan yang dipohon oleh YAB Menteri Besar Perak dan enam Exconya. Bagi mendapat kata putus kepada tindakan di atas, kami telah failkan suatu permohonan di bawah Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak yang bermaksud seperti di bawah:

“Without prejudice to any appelate or revisional jurisdiction of Federal Court, where in any proceedings before another Court, a question arises as to the effect of any Article in the Laws of tahe Constitution or any part thereof, the Federal Court may, on the application of either party to the proceedings, determine that question and either dispose of the case or remit it to the other Court to be disposed of in accordance with the determination.”

Ianya telah didengar oleh Mahkamah Persekutuan daripada 13hb hingga 14hb April dan keputusan diberikan pada 16hb April. Berikut adalah (LAMPIRAN 2) persoalan undang-undang yang telah dijawab secara positif oleh Mahkamah Persekutuan, iaitu soalan (i) dan (ii) Lampiran A kepada LAMPIRAN 2 di sini.
Pada hari yang sama juga, (16 April 2009) Mahkamah Persekutuan telah membuat perintah-perintah berikut terhadap tindakan pertama kami iaitu memberikan perisytiharan bahawa;

a. Keputusan Defendan Pertama (YB Sivakumar) menggantung dan melarang Plaintif Pertama hadir pada sidang Dewan Negeri selama 18 bulan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah; dan

b. Keputusan Defendan Pertama (YB Sivakumar) menggantung dan melarang Plaintif ke-2 sehingga ke-7 menghadiri sidang Dewan Negeri selama 12 bulan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.

Berdasarkan kepada perintah-perintah peristiharan di atas, saya menyatakan bahawa YAB MB Perak dan enam Exconya layak hadir ke sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 7hb Mei 2009 atas alasan-alasan berikut:

i. Perintah-perintah yang diperolehi adalah muktamad dan tiada lagi ruang untuk merayu.

ii. Jikalaupun tidak mendapat keseluruhan permohonan di dalam tindakan pertama, sila lihat Lampiran A kepada LAMPIRAN 2, yang pentingnya di sini ialah persoalan kesahihan penggantungan terhadap YAB MB Perak dan enam Exconya telah dijawab secara positif oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia ia tidak sah dan terbatal;

iii. Dalam ertikata lain, lain-lain permohonan (prayers) di dalam tindakan pertama hanyalah bersifat bersampingan (consequential). Yang pentingnya, seperti saya tegaskan tadi, adalah apa yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan.

Berkenaan pendapat Saudara Hanipa bahawa Peguam UMNO telah salah memilih prosedur, iaitu perlu melalui semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya Saman Pemula, ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam bantahan awal peguam YB Sivakumar bahawa tindakan pertama (iaitu melalui Saman Pemula) adalah betul dan wajar. Tambahan lagi, apa yang dipohon adalah deklarasi hak-hak (declaration of rights) oleh YAB MB Perak dan enam Exconya.

Isu keputusan YB Sivakumar selaku Yang DiPertua patut dipadam oleh Mahkamah (quasued by the court) tidak timbul (non-issue) kerana ianya dibuat secara berseorangan (unilateral) dan bukannya di dalam sidang sah Dewan Negeri Perak. Sila lihat LAMPIRAN 3 iaitu kenyataan akhbar YB Sivakumar. Jelas perkataan yang dibuat adalah “Saya telah membuat keputusan….”

Begitu juga surat-surat pemberitahuan di dalam LAMPIRAN 4, semuanya jelas menggunakan perkataan “…kuasa saya….” Ini pada hemat saya penggunaan kuasa secara berlebihan (excess use of powers) oleh YB Sivakumar dan tidak mengikuti lunas undang-undang.

D. Apakah yang dikatakan suatu penghinaan (contempt) yang kononnya dilakukan oleh YAB MB Perak dan Enam Exconya sehingga ianya digantung oleh YB Sivakumar?

Jikalau dilihat Saman untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kebebasan (Rights and Privileges Committee) yang dikeluarkan oleh YB Sivakumar, selaku Yang DiPertua Dewan Negeri Perak, iaitu LAMPIRAN 5 (untuk YAB MB Perak) dan LAMPIRAN 6 (untuk Enam Exconya), ianya dikatakan suatu penghinaan (contempt) kerana:

(a) Untuk YAB MB Perak (LAMPIRAN 5)

“(i) Bahawa bertentangan dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak kamu telah dan masih secara salah menjawat diri kamu sebagai Menteri Besar;

(ii) Bahawa kamu telah menyalahi undang-undang dengan membentukkan suatu Majlis EXCO walaupun wujudnya sebuah EXCO yang dilantik secara sah, yang mana ahli-ahlinya tiada meletakkan jawatan ataupun dihentikan perlantikan mereka di bawah Undang-undang Tubuh Perak;

(iii) Bahawa kamu dan yang lain telah secara salah menduduki dan mengambil milikan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan oleh itu adalah penceroboh;

(iv) Bahawa tindakan kamu membentuk suatu penghinaan Dewan Negeri kita yang mulia dan menghalang perjalanan lancar dan fungsinya;

(v) Bahawa tindakan menghina oleh kamu telah memalukan YB Menteri Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ahli-ahli Majlis EXCO dan membendung mereka daripada menjalankan dan melaksanakan tugas-tugas mereka;

(vi) Bahawa tindakan yang menghina oleh kamu adalah kelakuan tak senonoh sebagai seorang ahli Dewan Negeri kita yang mulia ini adalah bertentangan Perintah-Perintah Tetap, Undang-Undang Tubuh Perak dan Rukun Negara, khasnya, Rukun No. 5 Kesopanan Dan Kesusilaan;

(vii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu telah mencemar nama baik Dewan Undangan kita yang mulia ini dan membawa kehinaan, cemuhan, kebencian dan keaiban kepada Dewan;

(viii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu bermaksud suatu kelakuan rasuah, derhaka, pengaruh tak wajar, biadap dan pemerintahan buruk.”

(b) Untuk Enam Exco Perak (LAMPIRAN 6)

” (i) Bahawa bertentangan dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kamu telah dan masih secara salah menjawat sebagai ahli EXCO;

(ii) Bahawa kamu telah menyalahi undang-undang dengan membentukkan suatu Majlis EXCO walaupun wujudnya sebuah EXCO yang dilantik secara sah, yang mana ahli-ahlinya tiada meletakkan jawatan ataupun dihentikan perlantikan mereka di bawah Undang-Undang Tubuh Perak;

(iii) Bahawa kamu dan yang lain telah secara salah menduduki dan mengambil milikan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan oleh itu adalah penceroboh;

(iv) Bahawa tindakan di atas membentuk suatu penghinaan Dewan Negeri kita yang mulia dan menghalang perjalanan lancar dan fungsinya;

(v) Bahawa tindakan menghina oleh kamu telah memalukan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ahli-ahli Majlis EXCO dan membendung mereka daripada menjalankan dan melaksanakan tugas-tugas mereka;

(vi) Bahawa tindakan yang menghina oleh kamu adalah kelakuan tak senonoh sebagai ahli Dewan Negeri kita yang mulia ini dan adalah bertentangan Perintah-Perintah Tetap, Undang-Undang Tubuh Perak dan Rukun Negara, khasnya, Rukun No. 5 Kesopanan Dan Kesusilaan;

(vii) Bahawa tindakan tak senonoh kamu telah mencemar nama baik Dewan Undangan kita yang mulia ini dan membawa kehinaan, cemuhan, kebencian dan keaiban kepada Dewan.”

Persoalan pokok di sini ialah bukankah DYMM Paduka Seri Sultan telah perkenan mengadap dan mengangkat sumpah jawatan YAB MB Perak pada 6hb Februari 2009 manakala enam Exco pada 10hb Februari 2009. Jika menerima perlantikan jawatan YAB MB Perak dan Exco adalah suatu penghinaan (contempt) kepada Dewan Negeri, tidak menerimanya pula adalah suatu penderhakaan (traitor) terhadap kuasa mutlak DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Kesimpulan saya daripada di atas adalah berikut:

(i) Oleh kerana pihak pembangkang mengakui prinsip ketidakbolehan cabaran (non-justiciability) kuasa DYMM Paduka Seri Sultan melantik Menteri Besar dan barisan Exconya, YAB MB Perak dan Enam Exconya telah dijadikan mangsa serangan (obvious target);

(ii) Ianya adalah serangan secara pintu belakang (back door challenge) disebabkan prinsip ketidakbolehan cabaran (non-justiciability); dan

(iii) Suatu lagi contoh penggunaan kuasa secara keterlaluan oleh YB Sivakumar selaku Yang Dipertua Dewan Negeri Perak tanpa mengambil kira prinsip pecahan kuasa iaitu DYMM Paduka Seri Sultan Perak selaku Ketua Negeri dan di bawahnya adalah Badan Legislatif dan Eksekutif.

E. “Mesyuarat bawah pokok” – tidak sah

Adalah mengelirukan pada hemat saya, apabila Saudara Hanipa mengatakan bahawa penggantungan YAB MB dan Enam Exconya telah diterima (endorsed) di sidang bawah pokok kerana alasan-alasan berikut:

(i) Perintah Tetap 10, Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan (LAMPIRAN 7) jelas mewajibkan perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan di dalam warta;

(ii) Mesyuarat bawah pokok pada 3hb Mac 2009 tidak mendapat perkenan, tiada perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan dan diwartakan; dan

(iii) Ketiga-tiga mesyuarat di dalam Penggal yang terdahulu, yang terakhir berakhir pada 13hb November 2008, mempunyai perisytiharan DYMM Paduka Seri Sultan dan diwartakan. Ianya telah diikuti secara ketat oleh YB Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Ahmad Jamaludin sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Perak.

F. Kesimpulan

Adalah hujahan saya bahawa perintah Mahkamah Persekutuan yang diperolehi pada 16hb April 2009 adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan. Ianya juga bukan akademik semata-mata tetapi menjawab persoalan kepada tindakan pertama dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

3. Andersonians Perak - April 26, 2009

Abide the court rules and decision have been made….Dewan will bersidang on this 7 May…..Sivakumar….u are still the speaker right ? Hee is still Deputy….Attend and head the Dewan and do your duty as speaker….juz wonder why were you not in your Speaker uniform ( Dress No. 1 ) on the 19 April 2009 in istana that day….? U should….anyway we will meet u again in the Dewan…and to Nizar too….those are the days…time has come for you to accept the truth, the real fact….


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: