jump to navigation

Rakyat Terengganu salah pilih Pesuruhjaya – Nik Aziz September 15, 2008

Posted by nikmj in islam, National, news, Politics, Tuan Guru Niik Aziz Nik Mat.
Tags: , , , , , ,
trackback

 

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Comments»

1. penulis_cyber - September 16, 2008

Apa Dah Jadi Dengan Tok Guru Nik Aziz?

Saya dah baca satu kenyataan yang kununnya ditulis oleh TGNA yang membelasah Dato Mustafa Ali berkenaan kenyataan beliau yang tidak percaya perubahan kuasa akan berlaku pada 16 September, 2008.

Saya tak percaya itu adalah tulisan TGNA ataupun kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau. TGNA yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara terbuka lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS. TGNA yang kita semua kenal tidak pernah lekang mulutnya dan kenyataannya dari menyebut ayat-ayat suci Al-Quran atau AlHadis sebagai sandaran.

Saya percaya Husam Musa dan/atau team erdogannya berperanan besar untuk mengeluarkan kenyataan tersebut….samada disedari oleh TGNA ataupun tidak. Mana mungkin TGNA menyebut perkataan “Standing Ovation” dalam kenyataannya. Lebih-lebih lagi fakta yang kununnya Muktamar memutuskan untuk mengukuhkan pakatan rakyat secara “standing ovation” adalah tidak tepat sama sekali.

Dato’ Pa tidak pernah melanggar keputusan syura. Yang melanggar keputusan syura ialah Husam Musa, Dato’ KJ + geng erdogannya dan termasuk TGNA sendiri. Semua perwakilan dalam Muktamar sedar bahawa TGNA tidak mengikut ketetapan syura apabila beliau terang-terang tidak setuju muzakarah/muqabalah dengan UMNO diteruskan walaupun telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Dah la dia dipaksa untuk bercakap bagi membahaskan usul (tidak pernah berlaku dalam sejarah muktamar Musyidul Am terpaksa bangun berucap untuk membahaskan usul semata-mata dan selepas itu terus balik), ucapannya pulak yang lebih banyak berkisar tentang kebobrokan UMNO dan tidak perlunya diadakan apa-apa rundingan/kerjasama dengan mereka. Dan yang menyedihkan ialah pandangannya itu diberikan tanpa berdasarkan apa-apa hujah atau nas dari Al-Quran mahupun AlHadis. Kalau Majlis Syura membuat keputusan berdasarkan kepada hujjah dan nas, kenapa TGNA tidak memberikan sebarang nas untuk menolak atau tidak bersetuju dengan keputusan syura tersebut?

Kemudian kenyataan yang kununnya dari TGNA tersebut menyebut “Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno.” Takkanlah bila Dato’ Pa suarakan pandangan peribadinya terhadap temberang Anwar terus nak dicap sebagai lidah UMNO? (“temberang” kerana confirm kerajaan tak bertukar pada 16 Sept). Takkanlah TGNA sebagai seorang musyid tergamak nak tuduh pimpinan PAS sendiri macam tu. Takkanlah TGNA sebagai seorang mursyid tidak boleh terus mengubungi Dato’ Pa dan tanya beliau sendiri tentang maksud kenyataannya tersebut tanpa perlu menyerang peribadi beliau secara terbuka. (Kalau antihusam yang buat takpa la juga…sebab saya bukan tok guru).

Disebut juga bahawa Trengganu tersalah pilih Pesuruhjaya. Siapa yang pilih pesuruhjaya ni? Bukan rakyat Trengganu yang pilih dan bukan PAS Trengganu yang pilih..tapi dipilih oleh Presiden dengan persetujuan AJK PAS Pusat. Takkan TGNA tak tahu prosedur?? Jangan nanti orang kata PAS tersalah pilih Mursyidul Am pulak.

Dan diperenggan terakhir kenyataan tersebut telah disebutkan tentang keluarnya Dato’ Asri sebagai presiden PAS ketika itu kedalam UMNO. Apa motif kenyataan ini? Kalau TGNA ada masalah dengan Tuan Guru Presiden, hubungilah beliau dan berbincanglah secara ilmiah dan ukhuwwah Islamiyah… jangan mendengar dakyah Husam dan gengnya semata-mata yang hanya mahu melihat kepimpinan ulama PAS bertelagah sesama sendiri.

Kalaulah betul keseluruhan tulisan itu adalah terbit dari isi hati dan lidah TGNA sendiri…saya hanya mampu bersedih dan kecewa dengan perubahan yang telah berlaku ke atas tok guru yang kita sayangi. Sedarlah bahawa tok guru telah cuba dibawa masuk kedalam perangkap yang dipasang oleh Husam. Kesimpulannya, Anwar punya mainan dan jarum liberalnya secara senyap telah berjaya masuk ke dalam PAS melalui Husam Musa dan team erdogannya. Dia hanya tersenyum melihat pimpinan Ulama PAS bertelagah sesama sendiri. Semoga Tuan Guru Presiden dapat berbuat sesuatu sebelum terlambat.

http://antihusam.blogspot.com/

disalin :

Penulis Cyber
http://beritamalaysiakini.wordpress.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Comments

    fruit machines for s… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    Wallace on LIVE : Inkues kematian Teoh Be…
    SEO on Isu Manohara – Dokumen b…
    semut on Altantuya, C4, puaka, pembunuh…
    ibn wahab on Dr Asri dan fahaman Wahab…
    cincau on How TNB legally cheat Malaysia…
    first world genting… on RPK bongkar Surat Misteri SPRM…
    mengukir waktu on Ramalan nasib menerusi Tarikh…
    Oswaldo Beumer on What you should know about H1N…
    ahmed on Rahsia Surah Al-Kautsar
    what women want in m… on Isu Royalti Minyak Kelantan…
    fazal hatta on Balasan dunia kepada ‘ko…
    chatroulette on Kugan death widens the Gaps be…
    Pritapal Singh on Nissan Grand Livina 10000km ma…
    Toklang Cik on Sunnah Nabi Amalan Sehari…
  • %d bloggers like this: